MASALAH LAIN YANG SERINGKALI TERJADI KEPADA PESAKIT YANG MENJALANI RAWATAN KATETER DIALISIS

July 13, 2019by admin

Kisah 2.

Sepatutnya post semalam tapi tenet kat kawasan ni ada ciput sikit.

Kita sambung semula kisah mengenai penggunaan kateter dialisis semasa rawatan hemodialisis.

Kisah 1 berkisarkan MASALAH yang sering berlaku dengan penggunaan kateter dialisis iaitu CRBSI/ESI.

Bukan itu sahaja MASALAH yang seringkali timbul dengan penggunaan kateter dialisis. Antara MASALAH lain yang boleh terjadi pada pesakit ialah :

1. Benang tercabut dan kateter terkeluar sedikit dari biasa(rujuk gambar A).
Terutamanya pada kateter dialisis sementara aka IJC aka temporary hemodialysis catheter(NTHC). Kalau benang tercabut, silalah maklumkan pada paramedik di pusat dialisis masing2. Jangan sampai leka , nanti dengan kateter dialisis tu tercabut keluar. Yang paling ditakuti pendarahan yang banyak dan tidak terhenti terutamanya kalau tercabut masa tidur.
Kalau malam tu mimpi berlari atau berperang …takut tercabut kateter dialisis sebabkan ingatkan benda tu pedang dalam mimpi. Jangan ambil mudah ya bila benang dah tercabut atau kateter dialisis sudah terkeluar separuh. Kalau tiada kateter dialisis , macam mana nak buat dialisis. Dah seperti NYAWA pesakit , kateter dialisis ni ya.Ke KEKASIH GELAP ????

2. Kateter tidak berfungsi dengan baik(Rujuk gambar B)
Ini sering berlaku pada NTHC aka IJC juga. Kalau kat mesin tu bunyi ting tong ting tong akan kedengaran. Kalau nasib tak baik takde’flow'(aliran) terus. Ini adalah kerana beberapa sebab. Antaranya adalah hujung kateter dialisis tidak terletak di tempat yang sepatutnya, ada sumbatan darah(blood clot) dia dalam kateter dialisis, sarung seperti stoking menyelaputi kateter dialisis di dalam badan atau dikenali sebagai ‘fibrin sheath’. Kalau ini berlaku , dapatkan rawatan di hospital berdekatan.

3. ‘Central Vein Stenosis'(Rujuk gambar C)
Penyempitan/penyumbatan salur darah vena di dalam dada. Ini selalunya diakibatkan oleh penggunaan NTHC aka IJC yang terlalu lama dan kerap bertukar samada tidak berfungsi dengan baik atau jangkitan kuman. Apabila kateter dialisis dimasukkan ke dalam salur darah di leher ( Internal jugular Vein), ianya akan melalui salur darah vena di dada supaya hunjungnya berada dia dalam jantung. Dengan ini boleh menyebabkan peyempitan/penyumbatan salur darah vena di dalam dada. Cara untuk atasi adalah melakukan prosedur untuk besarkan salur darah vena yang sempit itu tetapi mempunyai MASALAH tersendiri dan peyempitan ini boleh berulang semula dalam masa terdekat . Untuk penyelesaian yang muktamad, buatlah fistula awal atau bertukarlah kepada CAPD sekiranya dinasihatkan. Berlapang dada ya kalau urat sempit dan dinasihatkan untuk buat CAPD.

Banyak lagi MASALAH yang timbul akibat penggunaan kateter dialisis secara berpanjangan.

Terutamanya CRBSI. Boleh membawa MAUT sebenarnya.

Ambillah langkah2 berjaga dari awal. Pakar buah pinggang akan menasihati untuk membuat persediaan rawatan dialisis seawal setahun mengikut keperluan pesakit terutamanya yang uratnya halus. Jadi doktor bukan suruh buat dialisis sekarang tapi buat persediaan awal.

Macam nak bernikah, setahun dah booking dewan, dah survey mak andam , cari design pelamin, baju bertandang dll…

Begitu juga dengan persediaan dialisis. Buatlah keputusan awal untuk jenis dialisis yang sesuai dengan kita, kemudian buatlah permohonan untuk bantuan kewangan mengikut kelayakan, carilah pusat hemodialisis yang berdekatan dan pembedahan fistula dengan cepat sekiranya ingin membuat hemodialisis. Kalau urat tidak sesuai untuk fistula boleh buat persediaan untuk lakukan CAPD.

Yang lebih baik mulakan dengan CAPD dahulu .

Sehingga bertemu lagi untuk Kisah 3. APSDA dah pun selesai semalam. Hari ni dan besok pula konferens 35th Annual Scientific Meeting of MSN ( Malaysian Society of Nephrology). Kita cari cerita lain pulak sempena konferens ini.

#MYBuahPinggang
#Sayangpesakitbuahpinggang
#Rawatanawal
#CAPD
#HD
#Kateterdialisis
#Takkenalmakatakcinta
#Persediaanawaluntukdialisisbukanuntukkahwinje

admin