Persediaan Sebelum
Hemodialisis boleh dibahagikan kepada persediaan mental, fizikal dan kewangan.
Persediaan Mental
Persediaan mental amat penting kerana pesakit perlu menerima hakikat bahawa buah pinggang mereka sudah tidak berfungsi dan perlu diambil alih oleh dialisis ataupun transplan.
Kebanyakan pesakit yang tidak boleh menerima hakikat kerosakan buah pinggang akan melambatkan proses dialisis, seterusnya menyebabkan komplikasi yang membahayakan nyawa.
Persediaan Fizikal
Secara fizikal pula, saluran darah pesakit pelu dihubungkan ke mesin dialisis melalui fistula ataupun tiub cuci darah. Fistula, atau dikenali sebagai ‘tapak’ memerlukan persediaan beberapa bulan sebelum rawatan dialisis dimulakan.
Pesakit dinasihatkan membuat persediaan awal untuk menjalani rawatan hemodialisis dengan melakukan pembedahan kecil (fistula) tersebut beberapa bulan sebelum rawatan hemodialisis diperlukan.
Mereka yang enggan menjalani pembedahan ini akan menanggung risiko komplikasi apabila memulakan rawatan secara mengejut.
Persediaan Kewangan
Persediaan dari segi kewangan boleh didapati melalui sumber dari beberapa agensi termasuk fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia, Pertubuhan Bukan Kerajaan, PERKESO dan Jabatan Perkhidmatan Awam.