Penjagaan Semasa Peritoneal Dialisis

Peritoneal Dialisis adalah salah satu cara untuk mengeluarkan bahan kumuh dari badan apabila seseorang itu sudah di diagnos sebagai pesakit buah pinggang tahap akhir. Prosedur ini berbeza dengan dialisis darah (Hemodialisis).

Temujanji

Anda harus sentiasa mematuhi arahan pakar. Temujanji akan dilakukan apabila:

  • Anda mula-mula memulakan rawatan PD
  • Preskripsi PD anda diubah
  • Pasukan penjagaan dialisis anda merasakan ia diperlukan
  • Tahap fungsi buah pinggang anda telah menurun

Penjagaan Kateter

Perkara yang penting semasa melakukan PD adalah KEBERSIHAN. Jika pesakit tidak menjaga kebersihan, ia boleh menyebabkan peritonitis, iaitu jangkitan pada peritoneum. Peritonitis berlaku apabila kuman masuk ke dalam peritoneum melalui kateter. Ia boleh dirawat dengan antibiotik, tetapi perlu dirawat dengan segera.

Penjagaan kateter adalah penting. Kebersihan terutamanya membasuh tangan dengan sabun dan air adalah mustahak sebelum mengendalikan kateter serta sebelum dan setelah pertukaran air dibuat.

Aktiviti Fizikal

Jadual rutin harian anda mungkin akan berubah semasa anda menjalani PD. Sekiranya anda melakukan CAPD pada waktu siang, anda mempunyai kawalan masa untuk melakukan pertukaran air. Jika anda melakukan dialisis peritoneal automatik, rutin harian anda mungkin tidak terganggu. Namun begitu perbincangan dengan doktor pakar adalah penting untuk menyesuaikan diri dalam melakukan dialisis ini.

Rutin Harian

Anda masih boleh aktif dan bermain sukan, tetapi anda harus membincangkan aktiviti ini dengan doktor pakar anda.

Pemakanan

Anda perlu meningkatkan pengambilan makanan yang tinggi potasium dan protein ke dalam diet anda semasa menjalani dialisis PD. Anda perlu menghadkan dan mengawal pengambilan garam, fosforus dan kalori dalam diet termasuk jumlah cecair yang diminum. Pemakanan yang betul dapat membantu anda berasa lebih baik semasa menjalani dialisis.

Ubat-ubatan

Doktor anda mungkin membuat perubahan pada ubat yang anda ambil. Rujuk kepada pakar dan sentiasa patuhi arahan pemakanan ubat.