Pembengkakan akan berlaku pada muka, perut dan kaki. Ini adalah antara simptom awal penyakit buah pinggang. Salah satu keunikan pembengkakan yang disebabkan oleh penyakit buah pinggang adalah ia biasanya berlaku di bawah kelopak mata (edema periorbital) dan paling ketara pada waktu pagi. Sekiranya lewat dirawati, air berlebihan di dalam badan boleh memasuki paru-paru dan menyebabkan kesesakan nafas. Perlu diingatkan bahawa pembengkakan badan tidak spesifik kepada penyakit kegagalan buah pinggang sahaja. Ia juga boleh disebabkan oleh sindrom nefrotik yang mana sering kali mempunyai simptom air kencing yang berbuih. Selain itu, pembengkakan badan juga mungkin adalah tanda-tanda kerosakan organ lain seperti jantung dan hati.