https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/08/test3-1-640x674.png

Anuar Mohamed,37

“Saya halalkan buah pinggang ini untuk adik saya kerana hanya itu yang mampu saya tolong untuk meringankan penderitaannya sejak buah pinggangnya rosak tiga tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang abang sanggup berkorban mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada adiknya yang menghadapi masalah kegagalan organ itu menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 6 Februari lalu.

Anuar Mohamed,37, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 2, Petaling Jaya, berkata dia tidak sanggup melihat penderitaan adiknya, Norazlina Mohamed, 34, sejak menghadapi masalah kegagalan buah pinggang sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sebagai anak lelaki tunggal daripada enam beradik, dia sanggup berkorban mengambil segala risiko menjalani pembedahan itu untuk memastikan adiknya sembuh dan tidak lagi berulang alik ke hospital untuk rawatan walaupun dirinya kehilangan sebelah buah pinggang.

“Saya halalkan buah pinggang ini untuk adik saya kerana hanya itu yang mampu saya tolong untuk meringankan penderitaannya sejak buah pinggangnya rosak tiga tahun lalu.

“Ini bukti kasih sayang saya sebagai seorang abang. Sebenarnya, sudah lebih setahun kami menjalani pemeriksaan dan berunding dengan pakar di HKL dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk melihat sama ada saya boleh menjadi penderma atau tidak.

“Selama tempoh itu, saya beri semangat kepada adik supaya tabah melaluinya dan saya sentiasa ada bersama-samanya. Dia memang seorang yang kuat dan berharap adik segera sembuh untuk memulakan hidup baharu dengan buah pinggang saya itu,” katanya.

Anuar berkata, adiknya sebelum ini cuba bertahan dengan kesakitan dialami dan tidak mahu memberitahu ahli keluarga sehingga dia perlu menjalani pemindahan untuk mendapatkan buah pinggang baharu.

Katanya, buah pinggang adiknya juga sudah lapan kali dijangkiti kuman, menyebabkan keadaannya bertambah teruk dan memerlukan pembedahan segera sebagai jalan terakhir.

“Walaupun saya tahu ada risiko, tetapi nyawa adik saya lebih penting. Keluarga juga memberi sokongan dan tidak membantah hasrat saya untuk membantu adik dengan memberi buah pinggang saya kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Norazlina berkata, dia terharu dengan pengorbanan abangnya yang sanggup mendermakan buah pinggang untuk memastikan diasihat semula.

“Abang tidak sanggup melihat saya kesakitan menggunakan mesin hemodialisis tiga kali seminggu. Kini saya bertekad menjaga diri dan buah pinggang ini,” katanya.

Sumber asal: Berita Harian (10 Februari 2018)

HUBUNGI KAMIMYBuahPinggang.com
Jumlah Pelawat Jumlah Pelawat
https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/10/disclaimerembed_left-01-scaled.jpg
HUBUNGI KAMIMYBuahPinggang.com
https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/10/disclaimerembed_phone-scaled.jpg