https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/08/test5.png

Khairul Shazwali Bin Taib

"Ternyata kesihatan juga adalah satu nikmat yang selalu kita lalaikan dan kurang kata-kata syukur kepada yang Maha Esa."

Pihak Hospital Kuala Lumpur telah memberi tarikh keramat yang akan sekali lagi mengubah kehidupanku kepada yang lebih baik. Perancangan asalnya pembedahan akan dilakukan pada 25 Januari 2019 akan tetapi perlu bersedia juga untuk diawalkan sekiranya pembedahan pada 22 Januari 2019 itu mempunyai kekangan. Menuju ke hari pembedahan, kami telah dipanggil lebih awal untuk bersedia kerana pembedahan kami akan diawalkan ke pada tarikh 22 Januari 2019. Malam sebelum pembedahan menjadi malam air mata yang tidak dapat dilupakan oleh kami sekeluarga. Ketika ini aku memohon diampunkan segala dosa diantara kita dan dihalalkan organ yang bakal didermakan kepadaku. Alhamdulillah 22 Januari menjadi tarikh keramat permulaan kehidupan baharu aku. Pembedahan yang mengambil masa hampir 12 jam selesai dengan jayanya dan aku memulakan kehidupan baru aku di Wad Jagaan Intensif (ICU) selama seminggu. Selesai pemindahan organ tidak bermakna terlepas dari segala dugaan lampau. Sejurus selepas pembedahan, keesokan paginya aku telah diminta oleh jururawat untuk bangun dan duduk di atas kerusi walaupun ditambat dengan wayar dan tiub dari pembedahan. Aktiviti ini telah dimaklumkan awal oleh doktor kerana pakar bedah sendiri yang akan datang untuk memantau keadaan aku dan abang aku di ICU. Kesan dari pembedahan itu, aku perlu menjalani pemindahan darah sebanyak 5 beg kerana kandungan darah yang cair selepas pembedahan. Menurut beberapa siri ujian yang dilakukan selepas pembedahan, doktor mengesahkan bahawa pembedahan berjaya dengan keputusan “A very successful transplanted kidney” telah disepakati oleh pakar bedah dan pakar buah pinggang.

Maka bermulalah rejim pemeriksaan berkala bagi aku sebagai penerima organ buah pinggang. 6 minggu pertama sebanyak 3 kali seminggu (Isnin, rabu dan Jumaat) manakala 6 minggu berikutnya sebanyak 2 kali seminggu (Isnin dan Khamis) dan 6 minggu berikutnya sebanyak seminggu sekali. Kini aku masih lagi memerlukan pemeriksaan berkala dua bulan sekali untuk memastikan fungsi tahap buah pinggang yang didermakan berada dalam keadaan yang optimum. Penderma juga tidak ketinggalan untuk melakukan pemeriksaan berkala dalam masa 3 bulan sekali. Tidak lupa juga ubat-ubatan yang memerlukan disiplin yang lebih sesuai untuk mengurangkan risiko penolakan pada organ yang didermakan.

KINI, aku menyelusuri kehidupan baharu ini dengan perspektif yang berbeza. Ternyata kesihatan juga adalah satu nikmat yang selalu kita lalaikan dan kurang kata-kata syukur kepada yang Maha Esa. Di saat aku menceritakan kisah ini, aku menghampiri setahun selepas pembedahan pemindahan buah pinggang yang didermakan oleh Malaikat tak bersayap. Kehidupan aku yang kini jauh lebih mensyukuri segala nikmat terasa sungguh manis. Semenjak aku berkongsi perjalanan dan perjuangan aku sebagai pesakit dan juga penerima buah pinggang, aku dan abang aku semakin rapat dan kami sering dijemput oleh media dan agensi untuk berkongsi kisah kami dengan harapan dapat berkongsi kehebatan lelaki yang menzahirkan kasih sayang dengan cara yang tidak ternilai untuk berkongsinya supaya kehidupan terasa lebih manis. Kehidupan Kembali seperti normal dan hanya perlu mematuhi pengambilan ubat-ubatan untuk memastikan buah pinggang yang didermakan berfungsi baik. Aku tidak perlu lagi menjalani rawatan dialisis dan dapat menghayati kebebasan sebenar dalam mengharungi kehidupan.

KHAIRUL SHAZWALI BIN TAIB
PENERIMA ORGAN BUAH PINGGANG

HUBUNGI KAMIMYBuahPinggang.com
Jumlah Pelawat Jumlah Pelawat
https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/10/disclaimerembed_left-01-scaled.jpg
HUBUNGI KAMIMYBuahPinggang.com
https://mybuahpinggang.com/wp-content/uploads/2020/10/disclaimerembed_phone-scaled.jpg