KANGAR: Hasrat seorang pensyarah Univerisiti Terknologi MARA (UiTM) untuk mendermakan organnya apabila sudah meninggal tercapai apabila pembedahan mengeluarkan organnya berjaya dilaksanakan, hariini.
Pembedahan mengeluarkan buah pinggang dan jantung Allahyarham Mohd Nor Akmal Nordin, 26, berlangsung selama tiga jam bermula jam 10 pagi ini di Dewan Bedah Hospital Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Organ itu akan dipindahkan kepada seorang penerima di Kuala Lumpur.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira 6.30 pagi tadi selepas koma akibat terbabit dalam kemalangan di Tambun Tulang, Arau pada Ahad lalu.
Ibunya, Normadiah Ismail, 53, dari Kodiang, Kedah, berkata beliau pada mulanya membantah hasrat anaknya untuk mendermakan semua organnya, namun memahami hasrat anaknya itu selepas diberi penjelasan.
Beliau berkata, Mohd Nor membuat ikrar untuk mendermakan organnya pada 2011 ketika masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Kami terkejut dan sukar untuk menerima hasratnya, namun dia menerangkan kebaikan dapat membantu meneruskan kehidupan orang lain dengan menderma organ.
“Arwah juga menjelaskan, penderma juga secara tidak langsung mendapat pahala kerana organnya dimanfaatkan dengan berguna,” katanya ketika ditemui, di sini.
Organ itu diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan helikopter Agusta AW 139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang dikendalikan oleh juruterbang Kapten Sidek Abbas.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pida 6, Kodiang selepas solat Asar tadi.
Sumber asal: BeritaHarian (24 Disember 2015)