ADMIN MRRED

July 6, 2019by admin

Assalammualaikum dan selamat pagi kepada semua warga MYBuahPinggang. Diharapkan pagi ini anda semua dalam keadaan yang bersemangat dan ceria untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini. Insya Allah pagi ini admin akan kongsikan kisah perjalanan admin sebagai pelajar yang mempunyai penyakit buah pinggang sehingga berjaya mendapat sebuah PhD. Semoga kisah ini dapat memberi manfaat. Agak panjang sedikit. Yang buruk jadikan pengajaran, yang baik jadikan amalan.

———————————————————————————–

Saya berdaftar sebagai pelajar doktor falsafah (PhD) pada September 2013. Saya juga merupakan bertugas sebagai Pembantu Penyelidik Siswazah dan Pembantu Felo Kolej Kediaman Pelajar pada tahun pertama tetapi terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan.

Sekitar Disember 2014 saya telah mengalami beberapa petanda yang menunjukkan fungsi buah pinggang telah merosot iaitu hilang selera makan, cepat penat, muntah-muntah dan sukar tidur. Namun, saya tidak tahu bahawa ianya berlaku akibat kemerosotan fungsi buah pinggang. Apabila keadaan semakin teruk saya telah mengambil cuti pada Januari 2015 dan hanya berehat berada di rumah keluarga. Namun, akibat keadaan yang semakin kritikal, saya telah dibawa oleh keluarga ke unit kecemasan Hospital Serdang pada hujung Januari 2015 untuk mendapatkan rawatan.

Saya telah ditahan dalam wad dan telah disahkan mengalami kegagalan buah pinggang kronik iatu fungsi buah pinggang saya hanya sekitar 9% sahaja. Satu tebukkan kecil dilakukan bagi memasukkan tiub ke bahagian paha untuk tujuan Haemodialisis segera dilakukan. Kiri Kanan tangan saya telah dimasukan jarum. Empat paket darah turut disalurkan ke badan saya dengan beberapa paket air. Pada masa ini Dr dapati badan saya terlalu kering. Setelah beberapa kali melakukan Haemodialisis dan hampir seminggu berada di hospital, akhirnya saya semakin stabil dan dibenarkan pulang.

Selepas dua hari pulang, saya kembali ke hospital bagi tujuan memasang tiub pada bahagian tengkuk supaya dapat dilakukan rawatan lanjutan iaitu Haemodialisis atau cuci darah untuk sementara. Dua minggu kemudian saya menjalani pembedahan di perut untuk pemasangan tiub bagi rawatan CAPD atau cuci air. Rawatan CAPD ini perlu dilakukan sebanyak empat kali sehari dan setiap sesi rawatan mengambil masa 30 ke 40 minit.

Sewaktu awal saya dimasukkan ke hospital keadaan saya sangat lemah. Saya hampir hilang semangat untuk meneruskan pengajian. Malah sangat berfikiran negatif terhadap kehidupan saya selepas ini. Saya perlu menjalani rawatan sepanjang hayat. Malah setiap 2 ke 3 hari saya perlu menyuntik horman ke dalam tubuh saya untuk tujuan meningkatkan penghasilan sel darah merah. Padahal saya sangat benci pada jarum suntikan. Saya begitu risau tentang pengajian dan meneruskan kehidupan. Saya berasa malu dan rendah diri ketika ini. Tidak ada harapan lagi dalam hidup saya pada masa ini. Saya mula benci melihat orang sekeliling. Malah saya sentiasa mudah marah dan merajuk. Hati dan perasaan saya ketika ini sangat sensitif. (Alhamdulilah, orang sekeliling sangat bersabar terhadap saya).

Namun, keluarga saya terutama ibu (Hatiah Jamhari) dan ayah (Buyung Lukman) banyak memberikan saya kata-kata semangat untuk saya bangkit. Pesan ibu bahawa beliau akan menjaga saya sedaya beliau selagi hayat masih terkandung. Manakala ayah pula, sering mengingatkan bahawa ini ujian dari tuhan bukan sahaja untuk saya tetapi untuk seluruh keluarga dan kita akan hadapinya bersama. Redha dan berserah sahaja kepada rancangan tuhan pasti ada hikmahnya. Adik-adik saya juga sangat membantu dengan mereka bergilir-gilir menjaga saya ketika rawatan di hospital dan turut memberikan kata-kata semangat. Rakan dan saudara mara banyak memberikan ucapan yang bagi menaikan semangat saya. Malah penyelia PhD (PM Dr Haryati Shafii) dan pengetua Kolej Kediaman Perwira (PM Dr Afandi) juga memberikan kata-kata motivasi yang sangat berguna. Tidak lupa juga para petugas perubatan seperti doktor dan jururawat yang telah membantu serta memberikan kata-kata peransang malah turut memberikan contoh orang yang mempunyai sakit seperti saya yang telah berjaya. Rezeki saya dikelilingi orang-orang yang sangat mengambil berat terhadap saya.

Apabila memikirkan keprihatian dan nasihat dari orang-orang sekeliling, sedikit demi sedikit hati saya mula terbuka untuk menerima dan berjuang dalam menghadapi sakit ini. Semangat mula pulih dan semakin berkobar-kobar setiap hari. Saya mahu buktikan saya sakit tapi saya boleh berjaya lebih lagi dari orang normal. Saya mahu bergelar sebagai pesakit berstatus Doktor Falsafah dengan nama saya mula dieja dengan perkataan “DR”. Tidak sabar rasanya dipanggil sebagai Dr.Reduan. Pada masa ini juga, badan saya juga semakin stabil dan bertambah baik. Walaupun masih dirawat didalam wad dan menjalani pembedahan, saya telah merancang untuk meneruskan pengajian saya yang telah tertangguh beberapa bulan. Saya tidak mahu toleh ke belakang lagi.

Keadaan saya yang telah bertambah baik membolehkan saya membawa bahan bacaan berkaitan penyelidikan ketika menjalani rawatan Haemodialisis selama lebih kurang lima minggu. Rawatan Haemodialisis dilakukan sebanyak 2kali seminggu dan setiap sesi mengambil masa lebih empat jam. Walubagaimana pun, saya hanya dapat fokus membaca sekitar 40 minit sahaja sebelum badan terasa penat akibat rawatan ini.

Malah pada satu ketika saya perlu berada di dalam wad selama seminggu untuk penukaran rawatan Haemodialisis atau cuci darah kepada cuci air (CAPD), saya telah mula menulis kertas kerja bagi dibentangkan dalam satu persidangan peringkat antarabangsa di Universiti Sains Malaysia. Walaupun tidak banyak yang mampu saya tulis tetapi saya pasti akan ada kemajuan setiap apa yang saya lakukan. Doa dan sokongan yang banyak saya terima telah meningkatkan semangat dan motivasi saya untuk penghabisan pengajian dengan cemerlang.

Sebaik sahaja saya stabil dalam rawatan baru CAPD, tanpa membuang masa sekitar September 2015 saya telah mula masuk ke lapangan kajian untuk mengumpul data. Pada masa yang sama juga saya mula aktif menulis artikel jurnal dan kertas kerja untuk dibentangkan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Saya perlu mengambil data kajian dari 7 buah universiti di semenanjung Malaysia. Setiap universiti saya perlu dapatkan sebanyak lebih kurang 300 orang pelajar untuk mengisi borang soal selidik.

Keadaan ini sangat mencabar kerana saya perlu menjalani rawatan CAPD sebanyak empat kali sehari. Saya perlu membawa semua peralatan rawatan dan tinggal di hotel sekiranya universiti yang kaji jauh dari tempat tinggal. Malah saya juga pernah melakukan rawatan CAPD dalam kereta yang sangat berisiko untuk mendapat jangkitan kuman. Jika terdapat jangkitan, saya perlu ditahan dalam wad selama dua minggu. Oleh itu, saya sentiasa perlu memastikan keadaan saya dan persekitaran bersih. Selepas melakukan rawatan CAPD juga kadang kala memenatkan dan saya perlu berehat seketika sebelum menyambung sebarang kerja penyelidikan. Disebabkan masa yang terhad juga saya kebiasanya akan tidur lewat untuk menyelesaikan segala kerja penyelidikan.

Dalam proses mengumpul data ini, adik-adik dan rakan-rakan saya banyak membantu dan sehinggalah analisis data dan akhirnya penyediaan draft untuk pra viva (pembentangan akhir). Sepanjang proses ini, saya perlu mengatur jadual secara terperinci bagi mengelak terlepas rawatan CAPD. Jika rawatan gagal dilakukan akan menyebabkan darah dalam badan dipenuhi toksik dan berisiko untuk pengsan secara mengejut. Saya juga perlu mengatur segala pertemuan bersama pakar-pakar dalam bidang kajian, para pegawai yang terlibat dan lain-lain dengan teliti. Oleh itu, saya tidak mempunyai jadual tetap ketika proses pemgumpulan data dilakukan.

Apabila selesai proses pemgumpulan data sekitar Disember 2015 maka bermulalah peringkat analisis data yang memerlukan saya berada di dalam bilik untuk menyiapkan tugasan. Ketika ini saya mempunyai aktiviti rutin. Saya menetapkan untuk membuat kerja-kerja penyelidikan secara serius dan fokus hanya pada hari isnin hingga jumaat sahaja. Pada waktu ini saya akan bangun sekitar 6 pagi untuk solat, membersihkan diri dan melakukan rawatan CAPD. Semua ini akan selesai sekitar jam 8 pagi. Kemudian sekitar jam 830 pagi saya akan mula menyemak kerja-kerja tertangguh, membaca artikel dan berita serta menulis tesis. Saya akan berhenti untuk sarapan sekitar jam 1030 pagi kemudian menyambung semula sehingga 12 tengahari. Pada waktu ini saya akan melakukan rawatan CAPD untuk kali kedua, berehat, makan dan solat. Kemudian sekitar jam 230 petang saya akan menyambung kerja-kerja penulisan penyelidikan sehingga jam 530 petang. Selepas itu saya akan melakukan senaman ringan antara 10 ke 15 minit dan diikuti rawatan CAPD ketiga pada jam 6 petang. Saya hanya akan menyambung penulisan penyelidikan sekitar jam 830 malam dan berhenti untuk rawatan CAPD ke empat pada jam 10 malam. Selepas itu, jika terdaya saya akan terus memyambung semula menulis sehingga jam 1 atau 2 pagi. Aktiviti rutin saya pada ketika ini akan turut diselang selikan dengan beberapa pembentangan kertas kerja yang telah saya siapkan semasa proses pemgumpulan data.

Saya berusaha untuk menyiapkan tesis penyelidikan secepat mungkin kerana masalah kesihatan juga telah menyebabkan impak kepada kewangan saya. Tidak semua kos perubatan boleh menggunakan surat jaminan dari UTHM. Kos dialysis dan rawatan CAPD perlu dibayar sendiri oleh saya. Duit biasiswa perlu dimanfaat dan digunakan sebaik mungkin untuk pembelajaran, kesihatan dan kelangsungan hidup saya. Ayah hanya bekerja sebagai peniaga kopi di pasar malam dan ibu hanya suri rumah. Sedikit sebanyak memberikan tekanan kewangan apabila saya jatuh sakit.

Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah saya perlu berulang alik ke UTHM setiap 2 ke 3 minggu bagi menunjukkan kemajuan penyelidikan serta berbincang bersama penyelia. Saya akan ke UTHM sama ada menaiki bas atau kereta. Sekiranya perjumpaan perlu diadakan pada awal pagi saya akan keluar rumah memandu kereta sekitar jam 5 pagi dan hanya solat subuh di R & R sahaja. Kebiasaanya, rakan atau adik saya akan turut serta. Dalam keadaan begini saya akan lakukan rawatan CAPD dalam kereta (sangat bahaya & tidak digalakkan). Sebaliknya, jika menaiki bas, saya tidak akan membuat rawatan dan ianya sangat berisiko untuk saya tetapi saya tiada pilihan. Sepanjang pengajian saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke UTHM telah berlaku kejadian seperti kemalangan, enjin kereta tidak dapat dihidupkan dan tayar pecah. Namun, saya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akhirnya sekitar Ogos 2017, genap empat tahun pengajian
saya telah berjaya menyiapkan tesis dan telah dihantar untuk di viva (Pembentangan & sesi soal jawap bersama pemeriksa). Saya hanya berviva pada 11 Oktober 2017 yang berlangsung hampir 2jam. Alhamdulilah saya telah lulus dengan minor correction iaitu diberikan tempoh selama enam bulan untuk pembetulan. Walaubagaimana pun, saya telah berjaya menghantar pembetulan lebih awal iaitu sekitar Disember 2017 dan surat senat telah dikeluarkan sekitar Mac 2018.

Sepanjang pengajian saya ini, saya telah berjaya menerbitkan 14 artikel jurnal berindeks dan antaranya diindeks oleh SCOPUS, 8 pembentangan kertas kerja peringkat kebangsaan dan antarabangsa, 3 artikel bahagian bab dalam buku, 1 anugerah perak dan 1 anugerah gangsa dalam pertandingan inovasi peringkat universiti dan kebangsaan. Pada 20 Oktober 2018, saya telah pun selamat berkonvokesyen dan anugerah PhD saya telah disampaikan sendiri oleh DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Kesungguhan saya dalam pengajian dan berjuang sebagai pesakit buah pinggang dan OKU telah turut mendapat liputan akhbar-akhbar tempatan ketika ini.

Alhamdulilah, kini telah tahun ke 5 saya menjalani rawatan CAPD dan pada masa kini juga saya sedang sibuk berusaha mencari sesi temuduga bagi mengejar cita-cita saya sebagai seorang pensyarah di universiti. Saya terinspirasi dengan seorang pensyarah di UTHM yang turut mempunyai penyakit buah pinggang iaitu Y. Bhg. Profesor Emeritus. Datin Dr. Maryati binti Mohamed yang merupakan seorang pakar dalam bidang biologi. Walaupun beliau mempunyai sakit buah pinggang dan melakukan dialisis tetapi perkara itu tidak menghalang beliau untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Oleh itu, mengambil contoh dari beliau, saya terfikir jika beliau mampu melakukannya kenapa pula saya tidak?. Saya percaya usaha, semangat yang jitu dan tidak kenal erti putus asas adalah formula terbaik untuk berjaya. DIharapkan rakan-rakan yang membaca kisah saya ini dapat mendoakan supaya urusan saya untuk menjadi seorang pensyarah universiti dipermudahkan. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca kisah saya. Yang baik ambillah sebagai pedoman, yang buruk jadikan pengajaran. Terima kasih sekali lagi. *Disini juga admin kongsi gambar sepanjang 2015-2018 dalam pengajian dan rawatan CAPD.

-Admin MrRed-

Dr.Mohd Reduan Bin Buyung
B.Sc. (HBP) USM
M.Ed. (TVET) UTHM
Ph.D. (Real Estate & Facilities Management) UTHM

admin