PERKONGSIAN PENGALAMAN SEORANG PESAKIT BUAH PINGGANG YANG MENGGUNAKAN RAWATAN CAPD SELAMA 15 TAHUN

July 11, 2019by admin

Assalammualaikum dan selamat petang. Admin harap semua warga MYBuahPinggang berada dalam keadaan baik-baik belaka. Pada petang ini admin ingin paparkan perkongsian pengalaman seorang pesakit buah pinggang yang menggunkan rawatan CAPD selama 15 tahun. Semoga bermanfaat.

—————————————————————————————————

Penghujung tahun 2003 ketika berumur 13 tahun. Saya telah disahkan sebagai pesakit ESRF daripada CKD yang saya alami sejak tahun 1999 (umur 9 tahun). Perasaan saya ketika ini adalah berasa putus asa, down, hilang semangat hidup dan sebagainya. Namun, saya bersyukur dikurniakan ibu bapa yang tabah dan kuat dalam menjaga saya. Berkat kegigihan mereka, hasilnya saya mula dapat berjuang menerima kesakitan ini.

Saya memilih rawatan pertama menggunakan kaedah PD (Mungkin ramai yang tidak tahu berkaitan rawatan ini ).Namun, kaedah PD tidak sesuai untuk saya malah sangat menyakitkan (hanya tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya). Buat sementara pakar buah pinggang telah memasang IJC untuk melakukan HD. Pada ketika ini juga, saya telah diperkenalkan dengan kaedah CAPD oleh SN Nor Azah (SN ini kekal dalam ingatan saya sebab beliau telah bersungguh-sungguh memperkenal dan menggalakkan kaedah CAPD ini untuk saya).

Saya telah diberikan kaunseling dan kemudian diminta untuk pulang dan memfikirkannya semula. Kebetulan atau mungkin rezeki saya telah terjumpa dengan pesakit yang telah otai melakukan rawatan CAPD (Arwah Kakni, Al fatihah). Dia seorang yang kelihatan sihat dan ceria seperti tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, beliau kelihatan seperti orang normal.

Saya telah dimasukan ke dalam wad untuk tujuan pemasangan IJC bagi kali kedua dan ketika ini juga saya telah memaklumkan kepada doktor bahawa saya memilih CAPD sebagai rawatan. Saya dikehendaki menandatangani beberapa borang dan kemudian terus melakukan pembedahan untuk pemasangan Tenckoff.

Pada tarikh 29 Mei 2004 maka bermulalah perjalanan hidup saya sebagai pesakit buah pinggang yang menggunakan kaedah rawatan CAPD. Tahun pertama rawatan CAPD adalah satu tempoh yang sangat sukar. Keadaan kesihatan masih dalam keadaan kurang baik, malah semangat juga masih tiada sehingga memaksa saya meninggalkan alam persekolahan. Namun, berkat ketabahan dan kesabaran, pada tahun kedua dalam rawatan CAPD, tahap kesihatan saya semakin baik dan pada masa kini seolah-olah telah mendapat semangat baru untuk meneruskan perjuangan sebagai pesakit buah pinggang. Pada waktu ini juga, saya telah menyambung kembali persekolahan (Terus ke tingkatan 3).

Pada tahun-tahun seterusnya, saya seperti telah kembali menjadi diri sendiri. Saya seorang yang ceria, aktif dan bersikap positif. Pada masa kini juga, saya turut mengamalkan diet pemakanan yang sihat (jaga air, jaga dry weight). Apa yang paling penting adalah penjagaan KEBERSIHAN (Ibu saya sentiasa bising bagi mengingatkan tentang kebersihan malah sehingga cucunya mengelarkan ibu sebagai nenek nurse). Penjagaan pada bahagian tiub amatlah penting terutama mengelak daripada terkena air dan basah (kawasan rumah saya merupakan kawasan banjir dan apabial berlaku kejadian banjir saya hanya mampu melihat sahaja).

Alhamdulilah, berkat ibu yang begitu prihatin, penuh kasih sayang dan kesabaran dalam menjaga saya maka saya mampu bertahan daripada sebarang jangkitan kuman selama 13 tahun. Pada 2 tahun terakhir selepas 13 tahun ini, saya telah mendapat jangkitan kuman sebanyak 4 kali. Dua kali pertama jangkitan kuman UF masih keluar dengan baik tetapi pada kali ketiga jangkitan kuman UF telah mulaperlahan dan keuntungan tidak sampai 1000. Akhirnya pada April lepas, keadaan menjadi semakin teruk (overload separuh paru-paru). Saya mengalami sesak nafas apabila makan, bercakap dan berjalan. Saya telah dimasukan ke dalam wad kemudian melakukan kaedah APD selama 3 hari. Namun, keadaan UF masih tidak begitu baik, malah pada masa yang turut terkena jangkitan kuman sekali lagi (jangkitan kuman pada kali ini adalah yang paling sakit sehingga membuatkan saya hampir tidak sedarkan diri). Doktor telah memaklumkan kepada saya bahawa kaedah CAPD tidak dapat digunakan lagi dan perlu dikeluarkan. Pemasangan IJC turut dilakukan bagi HD sementara. Selama 1 minggu melakukan HD telah menyebabkan UF saya hilang sebanyak 14kg. pada masa ini, barulah saya mampu bernafas dengan baik, tiada lagi batuk.

Pada masa kini, telah 3 bulan saya melakukan HD menggunakan IJC. Doakan saya berjaya untuk buat fistula buat kali kedua pada hujung bulan ini. Pertama kali membuat fistula adalah ketika dalam kaedah rawatan CAPD tetapi disebabkan tidak digunakan selama bertahun-tahun maka telah tidak dapat digunakan lagi (sayang betul). Nasihat saya untuk pesakit yang mahu menggunakan kaedah CAPD supaya jangan mengambil mudah perkara berkaitan KEBERSIHAN.

Suria Yusoff
Ex CAPD pt
April2004-April2019

Image may contain: 1 person, closeup

admin