Perkongsian Mohammad Syahmi buat pesakit buah pinggang [METROTV]
redzuan.muharam@hmetro.com.my
Puchong: Biarpun diuji dengan penyakit buah pinggang tahap akhir, Mohammad Syahmi Azman enggan terus bersedih, malah jauh sekali mahu menyalahkan takdir Ilahi.
Sebaliknya, Mohammad Syahmi, 27, yang menetap di Puchong Perdana di sini, menerima ketentuan dan kini giat memberi inspirasi kepada pesakit lain untuk bangkit menerusi perkongsiannya di TikTok.
Bukan hanya berkongsi pengalaman sebagai pesakit dan memberi kefahaman mengenai penyakit buah pinggang, malah Mohammad Syahmi tidak lokek mengajar kaedah rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang menjadi rutin hariannya.
“Saya aktifkan akaun TikTok pada tahun lalu dan isteri yang beri galakan untuk adakan siaran langsung di platform itu.
“Niat dan tujuan saya adalah untuk memberi kesedaran dan berkongsi dengan orang ramai mengenai penyakit buah pinggang dan rawatan sesuai, salah satunya CAPD.
“Penting untuk berkongsi ilmu dan pengalaman itu kerana ada segelintir keluarga pesakit menolak rawatan dialisis sedangkan ia perlu dilakukan seumur hidup selagi belum mendapat penderma buah pinggang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Selain mengumpul pengikut, Mohammad Syahmi bersyukur kerana perkongsiannya itu menarik minat pejuang penyakit buah pinggang daripada pelbagai latar belakang.
Lebih menggembirakannya apabila pesakit yang dulunya tidak jelas kini mula faham, malah tahu bagaimana untuk melakukan rawatan sendiri di rumah.
“Di TikTok terutama ketika sesi siaran langsung, saya cuba kongsikan bagaimana melakukan rawatan CAPD dan pilih ketengahkan alternatif itu kerana ia mudah serta boleh dilakukan di rumah atau di mana saja.
“Menerusinya, pesakit tidak perlu lagi ke pusat rawatan dialisis terutama dalam tempoh pandemik ini atau khuatir kerana ia (CAPD) tidak memberi kesan kepada organ lain.
“Saya sendiri lakukannya (rawatan CAPD) empat kali sehari dan setiap kali bersiaran langsung di TikToK, ada juga jururawat serta doktor masuk selain pesakit jadi daripada situ, saya serta semua yang menonton dapat mengambil nasihat daripada pakar,” katanya yang bekerja sebagai perancang bandar di Jabatan Perancang Bandar Malaysia.
Bercerita lanjut, Mohammad Syahmi berkata, dia faham apa yang dilalui pesakit kerana pernah juga berada dalam fasa sukar menerima hakikat dulu.
Bagaimanapun, sokongan keluarga terutama isteri, Fatin Insyirah Azizan, 27, memberinya semangat untuknya bangkit dan maju ke hadapan.
“Saya disahkan oleh doktor menghidap penyakit buah pinggang pada awal 2019 dan terkejut kerana ia terjadi dengan tiba-tiba sedangkan saya tidak merokok, aktif bersenam dan bermain badminton, jaga pemakanan dan amalkan minum air putih.
“Lebih membuatkan saya sukar untuk percaya adalah kerana tiada ahli keluarga lain pernah menghidap penyakit itu dan saya yang pertama.
“Tiga hari juga saya menangis ketika makan, solat dan tidur, malah pada awalnya hanya beritahu ayah (Azman Aziz) saja tetapi akhirnya berterus terang juga dengan emak (Fauziah Yusop),” katanya.
Mohammad Syahmi juga pernah terfikir untuk hidup membujang sampai bila-bila kerana tidak nampak masa depan dengan pasangan berikutan derita penyakit buah pinggang, namun jodoh mempertemukan saya dengan wanita yang menerimanya seadanya pada tahun lalu.
“Kami berkenalan di Facebook (FB) dan tidak ambil masa lama untuk mengenali hati budi masing-masing.
“Selepas saya bertemu dengan keluarganya di Pulau Tioman, Rompin, Pahang pada Ramadan tahun lalu, kami terus rancang dan buat persiapan untuk berkahwin.
“Oktober tahun lalu, kami selamat diijabkabulkan dan hanya dahulukan yang penting iaitu akad nikah saja kerana ketika itu, negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.